Search

Tuesday, 7 October 2014

Apakah itu Islam ?

Maksud Islam
Islam adalah gelaran kepada agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Agama ini bukanlah rekaan Nabi Muhammad SAW, bahkan ketetapan dari Allah SWT.
Islam dari istilah bahasa bermaksud:
  • Tulin dan suci dari sebarang kecacatan zahir dan batin
  • Damai, aman atau sejahtera
  • Taat dan menyerah
Islam dari segi syarak ialah: Mentauhidkan Allah, patuh, tunduk dan jujur hati kepadaNya serta beriman dengan ajaran Allah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w daripada Allah SWT. Namun makna yang paling banyak digunakan dalam al-Quran ialah patuh dan menyerah diri kepada Allah SWT.
Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah SWT untuk seluruh umat manusia melalui Rasul-Nya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SSAW. Islam tidak dikhaskan kepada bangsa tertentu dan golongan tertentu sahaja. Kepatuhan dan penyerahan diri yang dikehendaki oleh Allah SWT merupakan kepatuhan dan penyerahan yang berpandukan ajaran Allah SWT yang dibawa dan disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW.
Kepatuhan bererti menjalani semua hukum yang diwajibkan oleh Allah yang mencakupi hukum iktikadiyyah (kepercayaan), hukum amaliyyah (fiqh) dan hukum akhlakiyyah (budi pekerti). Oleh itu, syariat mencakupi bidang iman, amalan dan akhlak.
Dalil-dalil:
Firman Allah dalam Ali ‘Imraan, ayat 19:
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسْلَـمُ
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam” (3:19)
Firman Allah di dalam Surah Ali ‘Imraan ayat 85 yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi”
Firman Allah di dalam Surah Luqman, ayat 22 yang bermaksud:
“Dan sesiapa Yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.”
Islam adalah agama terakhir yang diturunkan bagi menggantikan agama samawi terdahulu (agama yang diturunkan dari langit) yang diturunkan kepada Rasul sebelum Nabi Muhammad SAW. Oleh kerana Islam merupakan rangkaian dari agama-agama langit yang terdahulu, maka ia mengakui akan kebenaran ajaran tulen agama tersebut dan kebenaran Rasul-rasul-Nya. Ini bererti agama Islam adalah penyambung dan penutup kepada agama dari langit di mana Nabi Muhammad SAW merupakan Rasul terakhir.Agama Islam mempunyai peraturan lengkap dalam semua bidang, baik dalam urusan keduniaan mahupun urusan akhirat sebagaimana ajaran-ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Hadis. Kepada kita manusia, Allah SWT memberi ilmu pengetahuan, daya intelek dan keupayaan untuk memilih perkara yang baik dan tidak baik. Oleh kerana manusia dikurniakan kelebihan tersebut berbanding makhluk lain, manusia akan diuji untuk menjadi hamba-Nya yang akan mendapat balasan sama ada syurga atau neraka. Kepada manusia juga, mereka diturunkan Rasulullah (pesuruh Allah SWT) yang menunjuk jalan kebenaran dan rasul yang terakhir dalam rantaian rasul-rasul adalah Nabi Muhammad SAW.